A. PERSIAPAN SEBELUM KE MAHKAMAH
1. Sahkan Tarikh, Waktu, dan Lokasi: Pastikan maklumat perbicaraan adalah tepat (rujuk sapina).
2. Sediakan Dokumen Lengkap: Jika dokumen diperlukan, pastikan ia lengkap dan dibawa pada hari perbicaraan.
3. Rancang Perjalanan Anda: Berada di mahkamah sebelum jam 9:00 pagi atau pada masa yang ditetapkan.
4. Jaga Etika Berpakaian: Berpakaian kemas, sopan, tertib dan tidak mencolok mata.
B. DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA KE MAHKAMAH
1. Dokumen Pengenalan Diri Warganegara Malaysia: Sila bawa Kad Pengenalan atau Sijil Kelahiran.
2. Dokumen Pengenalan Diri Warganegara Asing: Diperlukan untuk mengemukakan Pasport Antarabangsa atau dokumen pengenalan lain yang relevan.
3. Dokumen Tambahan Mengikut Peranan:
Anggota Kerajaan: Kad Kuasa Jabatan dan dokumen berkaitan
Pemilik Syarikat: Sijil Pendaftaran Syarikat dan dokumen sokongan berkaitan
Wakil Syarikat: Surat Pengesahan atau Kebenaran Wakil Syarikat
Pemilik Hartanah: Geran dan dokumen berkaitan harta tanah
4. Jika Tidak Berkeupayaan Hadir Ke Mahkamah: Pastikan sijil sakit anda dengan jelas menyatakan ketidakupayaan untuk hadir ke mahkamah.
C. ETIKA MENGHADIRI SIDANG MAHKAMAH TERBUKA
1. Ketepatan Masa: Berada di bilik bicara sebelum jam 9:00 pagi atau pada waktu yang ditetapkan oleh mahkamah.
2. Penghormatan Hakim / Majistret: Berdiri dan tunduk hormat apabila Hakim/Majistret masuk atau meninggalkan bilik bicara.
3. Perhatian Penuh: Berikan perhatian sepenuhnya kepada prosiding yang sedang berjalan.
4. Panggilan Nama: Tampil ke hadapan apabila nama anda dipanggil oleh jurubahasa.
5. Larangan Membuat Bising: Dilarang sama sekali membuat bising semasa mahkamah bersidang.
6. Keluar Masuk Bilik Bicara: Tunduk hormat ketika hendak masuk dan keluar dari mahkamah yang sedang bersidang.
7. Kanak-kanak: Kanak-kanak tidak dibenarkan dibawa masuk ke bilik bicara kecuali diarahkan oleh mahkamah.
8. Larangan Senjata: Sebarang jenis senjata adalah tidak dibenarkan di dalam mahkamah.
9. Larangan Rakaman: Sebarang bentuk rakaman, sama ada audio atau visual, adalah dilarang sama sekali.
10. Peranti Elektronik: Telefon bimbit dan alat elektronik lain yang boleh menghasilkan bunyi hendaklah dimatikan.
D. PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SAKSI DI MAHKAMAH
Siapa itu Saksi?
Individu yang berperanan memberikan keterangan fakta berkaitan dengan sesuatu kes. Apabila seseorang menerima sapina mahkamah, adalah menjadi kewajipan mutlak untuk hadir dan memberikan keterangan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Waran Tangkap dikeluarkan.
Tujuan utama kehadiran saksi di mahkamah untuk membentangkan keterangan, sama ada secara lisan atau melalui dokumen, agar mahkamah dapat membuat keputusan yang adil berdasarkan maklumat yang diberikan.
1. Penggunaan Bahasa: Berikan keterangan dalam bahasa yang difahami. Jurubahasa akan disediakan untuk bahasa selain Bahasa Melayu.
2. Angkat Sumpah: Angkat sumpah di kandang saksi dengan suara yang jelas dan kuat, mengangkat tangan kanan paras bahu.
3. Pengenalan Diri: Kemukakan kad pengenalan/kad kuasa/pasport kepada Jurubahasa untuk rekod mahkamah.
4. Fokus dan Kejelasan: Dengarkan soalan dengan teliti dan jawab apa yang ditanya sahaja. Minta penjelasan jika soalan tidak difahami.
5. Kebenaran: Pastikan setiap keterangan adalah jujur dan benar, kerana saksi terikat dengan sumpah untuk menyatakan kebenaran.
6. Penggunaan Dokumen: Bawa dokumen yang akan dikemukakan ke kandang saksi. Dapatkan keizinan mahkamah sebelum merujuk dokumen.
7. Tarikh Sambungan Perbicaraan: Jika keterangan belum selesai, pastikan tarikh sambungan perbicaraan dicatat kerana kehadiran adalah diwajibkan.

