Langkau ke kandungan utama

Sejarah Mahkamah Negeri Sembilan

Selama 72 tahun, dari era pemerintahan British, sistem kehakiman Negeri Sembilan berpusat di dua bangunan bersejarah: Mahkamah Tinggi di Jalan Dato' Hamzah dan Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Majistret di Jalan Campbell. Pada awalnya, badan kehakiman negeri ini didominasi oleh pegawai Inggeris, sebelum anak-anak tempatan mula dilantik sebagai Hakim (Presiden) selepas tahun 50-an.

Apabila lembaran baharu sistem kehakiman negeri dibuka dengan perpindahan ke kompleks moden pada tahun 2005, bangunan-bangunan ikonik ini tidak ditinggalkan. Bangunan di Jalan Campbell kini menjadi Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan. Manakala bangunan di Jalan Dato' Hamzah telah diubah suai menjadi Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, menyambung legasinya sebagai pusat keadilan.

Perbincangan projek ini bermula sejak 1998, direalisasikan melalui kaedah "Reka dan Bina" oleh Seremban Two Sdn Bhd. Pembinaan bermula pada 23 September 2003 dan siap sepenuhnya pada 25 November 2004. Seni bina unik diilhamkan daripada ciri-ciri Minangkabau, hasil rekaan firma WacArkitek, memberikan identiti tersendiri agar sebati dengan warisan budaya Negeri Sembilan. Proses perpindahan bersejarah ke kompleks baharu ini bermula pada 26 Januari 2005 selama empat hari. Seramai 86 orang pegawai dan kakitangan menjadi kumpulan perintis mula bertugas di kompleks ini.

Kompleks Mahkamah Seremban telah dirasmikan dengan penuh gilang-gemilang pada 21 Julai 2005 oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum DYMM Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Pada tahun 2011, namanya ditukar secara rasmi kepada Mahkamah Negeri Sembilan, mengukuhkan statusnya sebagai paksi utama sistem kehakiman di Negeri Sembilan Darul Khusus sehingga ke hari ini.

Kompleks Mahkamah Seremban telah dibina di Seremban 2, menandakan satu lonjakan besar dalam infrastruktur kehakiman di Negeri Sembilan. Terletak di tapak seluas 5 ekar, kira-kira 10 km dari pusat bandar. Bangunan dua tingkat dengan sub-basement ini bukan sahaja gah dari luar, bahkan dirancang dengan teliti di bahagian dalam.

Ia menempatkan:

Kemudahan Utama

Kemudahan Asas

  • 3 Mahkamah Tinggi
  • 6 Mahkamah Sesyen
  • 4 Mahkamah Majistret
  • Pusat Mediasi
  • Ruang Kerja Kakitangan
  • Ruang Sokongan dan Perkhidmatan
  • Surau
  • Perpustakaan
  • Bilik Saksi
  • Bilik Lelong
  • Kafeteria
  • Bilik Kanak-Kanak