Siapa itu Saksi? Individu yang berperanan memberikan keterangan fakta berkaitan dengan sesuatu kes. Apabila seseorang menerima sapina mahkamah, adalah menjadi kewajipan mutlak untuk hadir dan memberikan keterangan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Waran Tangkap dikeluarkan. Tujuan utama kehadiran saksi di mahkamah untuk membentangkan keterangan, sama ada secara lisan atau melalui dokumen, agar mahkamah dapat membuat keputusan yang adil berdasarkan maklumat yang diberikan. - Penggunaan Bahasa: Berikan keterangan dalam bahasa yang difahami. Jurubahasa akan disediakan untuk bahasa selain Bahasa Melayu.
- Angkat Sumpah: Angkat sumpah di kandang saksi dengan suara yang jelas dan kuat, mengangkat tangan kanan paras bahu.
- Pengenalan Diri: Kemukakan kad pengenalan/kad kuasa/pasport kepada Jurubahasa untuk rekod mahkamah.
- Fokus dan Kejelasan: Dengarkan soalan dengan teliti dan jawab apa yang ditanya sahaja. Minta penjelasan jika soalan tidak difahami.
- Kebenaran: Pastikan setiap keterangan adalah jujur dan benar, kerana saksi terikat dengan sumpah untuk menyatakan kebenaran.
- Penggunaan Dokumen: Bawa dokumen yang akan dikemukakan ke kandang saksi. Dapatkan keizinan mahkamah sebelum merujuk dokumen.
- Tarikh Sambungan Perbicaraan: Jika keterangan belum selesai, pastikan tarikh sambungan perbicaraan dicatat kerana kehadiran adalah diwajibkan.
|