Langkau ke kandungan utama

Perutusan Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan

Selamat Datang dan Salam Sejahtera,

Saya mengalu-alukan kehadiran anda ke Portal Rasmi Mahkamah Negeri Sembilan. Portal ini dibangunkan sebagai gerbang utama yang menyediakan capaian mudah dan menyeluruh kepada pelbagai maklumat berkaitan urusan mahkamah, hal ehwal kehakiman dan perundangan, serta kemudahan dan perkhidmatan di seluruh mahkamah Negeri Sembilan. Kami berharap portal ini menjadi rujukan yang berguna kepada orang awam, sejajar dengan komitmen kami untuk memastikan ketelusan dan kebolehcapaian maklumat.

Mahkamah Negeri Sembilan bepusat di Kompleks Mahkamah Seremban dan disokong oleh tujuh mahkamah di daerah yang strategik, iaitu Kuala Pilah, Port Dickson, Tampin, Bahau, Jelebu, Rembau, dan Gemas. Struktur ini diwujudkan bagi memastikan setiap rakyat mendapat capaian kepada keadilan tanpa mengira lokasi. Setiap mahkamah daerah ini berperanan penting dalam memperkukuh sistem perundangan di peringkat akar umbi, selaras dengan komitmen kami untuk membawa perkhidmatan kehakiman lebih dekat kepada masyarakat.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan pentadbir Portal Rasmi Mahkamah Negeri Sembilan. Dedikasi dan usaha berterusan anda dalam mengemas kini portal ini amat dipuji. Tugas ini bukan sekadar rutin, malah ia menjamin penyaluran maklumat terkini secara lancar dan tepat. Usaha murni ini wajar diteruskan dengan penuh semangat. Inovasi dan kreativiti anda merupakan pemangkin kecemerlangan perkhidmatan awam,  di samping memainkan peranan utama dalam meningkatkan capaian maklumat kehakiman di Negeri Sembilan.

Secara umumnya, badan kehakiman merupakan asas kepada kedaulatan undang-undang negara. Ia berperanan penting dalam mentafsir dan menguatkuasakan undang-undang, menyelesaikan pertikaian, serta melindungi hak dan kebebasan asasi individu. Institusi kehakiman bertindak sebagai benteng terakhir bagi memastikan keadilan ditegakkan dan keharmonian sosial terpelihara. Kami komited untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh integriti, profesionalisme dan saksama, di mana setiap keputusan dibuat berlandaskan prinsip perundangan kukuh serta bukti objektif.

Akhir kata, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelawat portal ini. Sokongan dan maklum balas anda merupakan motivasi utama kami untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan. Semoga Mahkamah Negeri Sembilan kekal sebagai institusi yang dihormati dan dipercayai di negeri ini. Marilah kita bersama-sama menegakkan kedaulatan undang-undang demi kemakmurandan kesejahteraan Negeri Sembilan Darul Khusus.

Terima kasih.

Ikhlas daripada
YBhg. Datin Kunasundary A/P Marimuthu
Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan