Langkau ke kandungan utama

Lawatan Kerja Pegawai dan Kakitangan Mahkamah Negeri Sembilan ke Institusi Pemulihan Dadah Jelebu

Lawatan Kerja Ke Institusi Pemulihan Dadah Jelebu bagi pegawai dan kakitangan Mahkamah Negeri Sembilan tahun 2026 telah diadakan pada 2 Julai 2026. Lawatan kerja ini telah disertai oleh 33 orang peserta yang terdiri daripada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, YBrs. Datin Kunasundary a/p Marimuthu serta wakil-wakil daripada Kompleks Mahkamah Seremban dan Pusat Kos.

Lawatan ini  merupakan jaringan kerjasama bagi mengekalkan hubungan yang erat di antara Badan Kehakiman (Mahkamah Negeri Sembilan) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Tujuan Lawatan ini adalah bagi mempertingkatkan kompetensi, pengetahuan dan kefahaman para pegawai serta kakitangannya terhadap sistem keadilan jenayah dan institusi korektif di Malaysia. Lawatan kerja ke Institusi Pemulihan Dadah Jelebu ini dirancang sebagai satu platform pendedahan sektor perundangan secara praktikal mengenai proses pemulihan, penahanan, sistem pengurusan dan Program Reintegrasi Penghuni (prospek) kembali ke dalam masyarakat.

Para peserta juga telah dijelaskan oleh pegawai penjara dan berpeluang melihat sendiri pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Kemahiran yang disediakan oleh pihak institusi sebagai persediaan prospek sebelum kembali ke dalam masyarakat.

Secara tidak langsung juga, para peserta dapat menambah pengetahuan serta pendedahan berkenaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dan keberkesanan perintah tersebut kepada prospek dan orang awam (public).

Secara keseluruhannya, lawatan ini telah dapat memberi input yang banyak terutamanya dalam aspek memahami sistem pengurusan, program pemulihan dan latihan serta usaha pendidikan yang dilaksanakan demi pembangunan sahsiah penghuni. Pengalaman interaksi secara langsung ini telah memberi ruang serta peluang bagi meningkatkan profesionalisme serta kepekaan warga kerja Mahkamah Negeri Sembilan dalam menggalas tugas keadilan.

#MADANIBekerja
#MalaysiaMadani
#JabatanPerdanaMenteri
#MYJudiciary
#TaatSetia