Skip to main content

Perhimpunan Bulanan Mahkamah Negeri Sembilan Februari 2026

Perhimpunan Bulanan Mahkamah Negeri Sembilan telah diadakan pada 13 Februari 2026 bertempat di Lobi (belakang) Kompleks Mahkamah Seremban. Perhimpunan ini telah disertai oleh seluruh warga kerja Kompleks Mahkamah Seremban serta wakil-wakil daripada Pusat Kos. Majlis ini turut diikuti secara hibrid melalui aplikasi zoom bagi kakitangan yang tidak dapat hadir secara fizikal.

YBrs. Puan Kanageswari Nalliah, Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan telah menyampaikan ucapan serta amanat kepada seluruh warga kerja Mahkamah Negeri Sembilan. Antara amanat beliau ialah kepentingan sikap berintegriti iaitu amanah dalam setiap pekerjaan yang dijalankan.  Beliau turut menekankan beberapa perkara lain antaranya ialah
menitikberatkan ketepatan waktu dalam melaksanakan tugas dengan menjaga cara bekerja, etika berpakaian dan komunikasi dengan rakan sekerja, pihak atasan serta pelanggan yang berurusan di kaunter mahkamah. Beliau turut mengingatkan tentang keselamatan barang berharga bagi mengelakkan daripada berlakunya kehilangan.

Selain itu, pengarah juga memaklumkan berkenaan lawatan kerja YAA Hakim Besar Malaya pada 13 April 2026. Beliau meminta semua kakitangan memastikan kawasan kerja sentiasa kemas, teratur dan persekitaran mahkamah sentiasa bersih. Puan Pengarah juga mengingatkan tentang keperluan mengisi Borang Waktu Bekerja Fleksibel bagi bulan Ramadhan disamping merancang cuti sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri lebih awal bagi memudahkan  pengurusan pihak pentadbiran serta memastikan operasi mahkamah berjalan lancar.

Di akhir ucapan, beliau turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada kakitangan yang berbangsa Cina serta ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada kakitangan yang beragama Islam.

Secara keseluruhannya, perhimpunan bulanan ini telah berjalan dengan lancar dan diharap dapat meningkatkan lagi semangat kerja berpasukan serta komitmen seluruh warga kerja Mahkamah Negeri Sembilan.

#MADANIBekerja
#MalaysiaMadani
#JabatanPerdanaMenteri
#MYJudiciary
#TaatSetia