Kenali Mahkamah Negeri Sembilan Darul Khusus

Latar Belakang Mahkamah Malaysia dan Mahkamah Negeri Sembilan

Istana Kehakiman Putrajaya

Sistem Mahkamah Malaysia berasal daripada satu piagam tahun 1807 yang dikenali sebagai Piagam Keadilan Pertama yang memberikan Syarikat Hindia Timur Inggeris hak daripada Empayar Diraja British untuk mengadakan Mahkamah Keadilan di penempatan British dalam negeri Pulau Pinang.
 
Sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963, terdapat tiga Mahkamah Agung di dalam Komanwel Asia Tenggara:-
  • Mahkamah Agung Persekutuan Tanah Melayu
  • Mahkamah Agung Singapura
  • Mahkamah Agung Sarawak, Borneo Utara dan Brunei
Setiap Mahkamah Agung yang terdiri daripada sebuah Mahkamah Tinggi dan sebuah Mahkamah Rayuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara.

Satu Mahkamah Agong Keadilan telah diwujudkan di Brunei.

Mahkamah Tinggi Singapura telah berhenti menjadi sebahagian daripada sistem mahkamah Malaysia apabila Singapura meninggalkan persekutuan tersebut pada 9 Ogos 1965.

Pada suatu ketika dahulu, mahkamah tertinggi Malaysia adalah Majlis Privy (Privy Council) di London, walaupun selepas kemerdekaan Malaya dan seterusnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Pada masa itu juga, penguatkuasaan artikel 131 Perlembagaan Persekutuan membenarkan rayuan bagi keputusan Mahkamah Persekutuan dirujuk kepada Majlis Privy. Dengan pemansuhan perjanjian ini pada tahun 1985, berakhirlah sistem kehakiman yang bergantung terhadap sistem kehakiman Britain.

Struktur Badan Kehakiman Malaysia boleh dipecahkan pada dua bahagian iaitu Mahkamah Atasan dan Mahkamah Rendah.

Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

Mahkamah tertinggi di Malaysia adalah Mahkamah Persekutuan diikuti dengan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Mahkamah Rendah pula terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Mahkamah Khas ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan pada 20 Mac 1993 dan mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tindakan sivil atau tindakan jenayah yang dimulakan oleh atau terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu yang lain.

Di Negeri Sembilan pula, hampir seabad lamanya warga mahkamah mendiami pejabat lama yang terletak di Jalan Dato' Hamzah (Mahkamah Tinggi) dan di Jalan Campbell (Mahkamah Sesyen dan Majistret) iaitu selama 72 tahun semenjak tahun 1932 hingga tahun 2004.

Ketika awal penubuhan Mahkamah Negeri Sembilan, Tanah Melayu masih lagi diperintah oleh kerajaan British sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Hampir keseluruhan Pegawai Perundangan adalah dari keturunan Inggeris, dan hanya selepas tahun 50-an barulah seorang dua pegawai dari Tanah Melayu dilantik sebagai Presiden (Hakim).

Setelah warga Mahkamah Negeri Sembilan berpindah ke Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2 pada tahun 2005, Bangunan Jalan Campbell telah diambil alih menjadi Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan sehingga ke hari ini. Manakala Bangunan Jalan Dato' Hamzah pula diambil alih oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.

 

Mahkamah Jalan Campbell, Seremban
Mahkamah Jalan Campbell, Seremban
Mahkamah Jalan Dato' Hamzah, Seremban

Pembinaan Kompleks Mahkamah Seremban
 

Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan adalah salah satu projek yang bertujuan untuk menempatkan semula Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban.

Keluasan tapak projek adalah seluas 5 ekar di Lot 22184, Mukim Rasah, Seremban 2. Kompleks ini terletak kira-kira 10 km dari Bandar Seremban dan 6 km dari Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada tanggal 23 September 2003 dan siap sepenuhnya pada 25 November 2004.

Bangunan ini mempunyai 2 tingkat dengan tingkat sub-basement yang mengandungi 3 Mahkamah Tinggi, 4 Mahkamah Sesyen dan 5 Mahkamah Majistret serta ruang kerja tetap, ruang kerja kakitangan, ruang sokongan, ruang perkhidmatan mekanikal dan elektrikal dan kemudahan-kemudahan asas yang berkaitan seperti surau, tandas, bilik peguam, perpustakaan, bilik saksi, cafeteria, bilik lelong, bilik kanak-kanak dan sebagainya.

Projek ini telahpun dimulakan seawal tahun 1998 dari perbincangan pembelian tanah, reka bentuk serta kemudahan yang perlu diadakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Pengurusan Kompleks Projek Mahkamah Seremban secara keseluruhannya ianya dijalankan oleh Jabatan Kerjaraya (JKR) Malaysia dan cara perolehan projek ialah melalui "Reka dan Bina" (Runding Terus) telah dilaksanakan oleh Seremban Two Sdn Bhd (sebelumnya dikenali sebagai RB Land Sdn Bhd) dan kontraktor yang telah dilantik adalah Syarikat Seremban Two Sdn Bhd.

Reka bentuk kompleks ini berasaskan ciri-ciri Minangkabau telah dihasilkan oleh Syarikat WacArkitek yang dilantik oleh pihak Seremban Two Sdn Bhd.

Kompleks Mahkamah Negeri Sembilan, Seremban 2

Setelah projek ini berjaya disiapkan, bangunan Kompleks Mahkamah Seremban ini telah diserahkan kepada Bahagian Pembangunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 2004. Perpindahan dari Mahkamah Jalan Campbell dan Mahkamah Jalan Dato' Hamzah ke Kompleks Mahkamah Seremban yang baru telah bermula pada 26 Januari 2005 secara berperingkat-peringkat bermula dari Bahagian Pentadbiran, Bahagian Sivil, Bahagian Jenayah dan Bahagian Kewangan sehingga keseluruhan bangunan ini dipenuhi.

Tempoh yang diambil untuk perpindahan ini adalah selama 4 hari. Pihak Ijjasniaga Sdn Bhd telah dilantik untuk proses pemindahan tersebut.
 
Jumlah keseluruhan pegawai dan kakitangan yang menduduki kompleks ini pada ketika itu adalah seramai 86 orang (kini 137 orang). Alat kelengkapan dan peralatan di Kompleks Mahkamah Seremban ketika itu adalah serba baru bagi menggantikan peralatan dan perkakas lama yang telah usang seiring dengan penubuhan Kompleks Mahkamah Seremban yang baru. Pada ketika itu semua jenis kes dibicarakan di kompleks ini.

Kompleks Mahkamah Seremban telah menjadi Pusat Mahkamah di Negeri Sembilan.

               

 
Pada 21 Julai 2005 (Khamis), bersamaan 14 Jamadilakhir 1426 H, Kompleks Mahkamah Seremban telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Almarhum DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan kini Kompleks Mahkamah Seremban telah bertukar nama kepada Mahkamah Negeri Sembilan mulai tahun 2011.

Sumber: Majalah Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Seremban

Total visitors to the Portal : 80,404
Last updated : 22 August 2017